BAYI berusia 17 bulan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan setelah jatuh dari tingkat empat Kompleks Desa Tentera Darat, Sungai Panching, Kuantan, Pahang, kelmarin.

Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu berlaku ketika mangsa berada di flat berkenaan bersama ibunya.

Mangsa dikatakan bermain di ruang tamu dan membuka pintu ‘sliding’ di beranda rumahnya.

Bayi berkenaan kemudian keluar dan bermain di sekitar beranda namun secara tiba-tiba terjatuh.

Bapa bayi itu yang sedang membasuh kereta di bawah kawasan flat berkenaan, menyedari mangsa terjatuh lalu segera mendapatkan anaknya.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis da­erah, Asisten Komisioner Moha­mad. Noor Yusof Ali ketika dihubu­ngi mengesahkan kejadian tersebut, bagaimanapun ibu bapa mangsa belum membuat laporan polis.

“Kita sudah menghantar anggota berjumpa ibu bapa mangsa dan meminta mereka membuat laporan polis,” katanya.