Dalam kejadian pukul 11 pagi itu dipercayai berlaku ketika bapa bayi berusia dalam lingkungan 40-an meninggalkan mangsa bersama abangnya berusia 10 tahun di dalam kereta tersebut bagi menguruskan pendaftaran di sebuah klinik.

Kanak-kanak lelaki itu kemudian keluar dari kenderaan tersebut dan meninggalkan adiknya yang sedang tidur di kerusi penumpang bahagian belakang sebelum pintu MPV berkenaan terkunci.

Komander operasi Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Ahmad Nyat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 11.05 pagi dan seramai empat anggota bomba dikejarkan ke lokasi.

"Difahamkan, bapa mangsa cuba membuka pintu kereta berkenaan yang dalam keadaan enjin hidup, namun gagal sebelum menghubungi bomba.

"Pasukan kami mengambil masa dua minit mengumpil pintu menggunakan alatan khas," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurutnya, bayi itu selamat dan kemudian diserahkan kepada keluarganya. - UTUSAN ONLINE