Ketua Polis daerah, Superintenden Mohad Idris Samsuri berkata, bayi berkenaan dibawa oleh pengasuh ke Hospital Tangkak pada Selasa lalu selepas mengalami sawan.

Menurutnya, bayi terbabit seterusnya dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar sebelum pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di dahi kiri, pendarahan pada bahagian mata dan retak tempurung kepala.

“Pegawai perubatan yang merawat mangsa membuat laporan polis dan siasatan terhadap pengasuh mendakwa mangsa pernah dua kali terjatuh daripada buaian sepanjang di bawah jagaannya.

“Walau bagaimanapun siasatan lanjut sedang giat dijalankan termasuk mendapatkan maklumat serta keterangan daripada ibu bapa mangsa, ahli keluarga dan jiran,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mohad Idris berkata, polis juga telah menahan pengasuh wanita berusia 35 tahun itu pada pukul 12.15 malam tadi dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. -UTUSAN ONLINE