Kemalangan tersebut mengakibatkan seorang bayi perempuan berusia 10 bulan maut manakala tiga ahli keluarganya yang lain cedera.

Mangsa, Nur Auliya Inara Mohamad Nirzaudy Haiqal disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini akibat kecederaan parah pada bahagian badan dan kaki.

Kemalangan terbabit juga menyebabkan bapa mangsa, Mohamad Nirzaudy Haiqal Abdullah, 29, dan ibunya, Wan Nur Izzaty Wan Mohd. Zaffar, 22,

cedera parah manakala kakak kepada bayi terbabit, Nur Auliya Maisara, 2, mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner, Shahurinain Jais berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta jenis Perodua Kenari yang dinaiki empat beranak terbabit dalam perjalanan dari arah Stulang Laut menuju balik ke rumah mereka di Taman Tampoi Utama di sini.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta Mercedes E250 itu yang dinaiki oleh seorang lelaki berusia 43 tahun secara tiba-tiba telah melanggar bahagian belakang kereta yang dinaiki oleh keluarga mangsa.

“Akibat pelanggaran, kereta Perodua Kenari terbabit hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar batu pembahagi jalan. Kereta terbabit juga berpusing kira-kira 30 meter sebelum terbalik ke tengah jalan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Shahurinain berkata, mayat bayi terbabit dibedah siasat di HSA di sini manakala ibu dan ayahnya dirawat di Zon Merah hospital yang sama.

“Pemandu kereta Mercedes terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian saringan air kencing yang dijalankan keatas pemandu terbabit mendapati negatif daripada sebarang jenis dadah,” katanya.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE