Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.50 pagi mengakibatkan Said Abu, 24, dan Hossain Khokan, 36, kedua-duanya merupakan pekerja pencuci meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, salah seorang mangsa dijumpai di bahu jalan manakala seorang lagi ditemukan di bawah jambatan berkenaan dipercayai tercampak akibat rempuhan.

“Kemalangan dipercayai berlaku semasa basikal yang dinaiki kedua-dua mangsa cuba melintas dari kiri ke kanan jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan dipercayai kereta ke arah Kota Shah Bandar.

LOKASI kemalangan maut yang meragut nyawa dua pekerja warga Bangladesh menaiki basikal dirempuh sebu

LOKASI kemalangan maut yang meragut nyawa dua pekerja warga Bangladesh menaiki basikal dirempuh sebuah kenderaan di jambatan Jalan Syed Abdul Aziz, Banda Hilir, Melaka awal pagi ini.  - UTUSAN ONLINE/Ihsan PDRM

“Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah dengan mayat salah seorang daripadanya ditemukan di bawah jambatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini kenderaan terlibat masih belum tampil membuat laporan.

“Pihak polis meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat tentang kemalangan tersebut menghubungi pegawai penyiasat kes atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Afzanizar berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE