Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, bas tersebut bukan sahaja terbalik ke bahu jalan malah remuk dihempap treler tersebut.

Difahamkan, bas yang dipandu Abdul Halim Mohd. Noor, 56, telah berhenti di sebelah kiri bahu jalan dipercayai untuk mengambil pelajar sebelum sebuah treler hilang kawalan, lalu melanggar bahagian belakang bas itu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Ab. Rahim Che Ghani berkata, akibat pelanggaran kedua-dua kenderaan itu telah terbalik ke kiri bahu jalan.

“Bagaimanapun, pemandu treler, Mohd. Nordin Md. Nor, 43, dan pemandu bas serta 11 pelajar yang menaiki bas itu hanya cedera ringan,” katanya.

Ab. Rahim memberitahu, penumpang yang terbabit dalam kemalangan berkenaan terdiri daripada pelajar tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pahi, SMK Sultan Yahya Petra 1 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Peria.

Katanya, bas itu dalam perjalanan menghantar pelajar terbabit ke sekolah masing-masing manakala lori treler dari arah sama ke bandar Kuala Krai.

Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk menerima rawatan,” katanya.