Kejadian yang berlaku di jalan berbukit itu dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu sebuah Toyota Hilux yang memotong bas tersebut sebelum membrek secara mengejut menyebabkan pemandu bas itu hilang kawalan.


Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden, Ladamah Sulaiman berkata, kesemua mangsa hanya mendapat kecederaan ringan dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.


Menurut beliau, pihak polis masih mengesan pemandu pacuan empat roda tersebut bagi membantu siasatan dan meminta saksi kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat.


“Siasatan awal mendapati sebuah Toyota Hilux telah memotong bas berkenaan dan semasa berada di depan bas, pemandunya membrek secara mengejut sehingga menyebabkan kemalangan itu.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika ditemui di Hospital Papar di sini petang ini.


Beliau berkata, pemandu bas yang berusia 37 tahun telah ditahan untuk diambil keterangan dan menjalani ujian saringan air kencing.


Tambahnya, siasatan turut mendapati bas berkenaan mempunyai empat saman tertunggak sebelum ini kerana dipandu laju.-UTUSAN ONLINE