Mangsa Yip Keng Yen , 19, berkata, bas tersebut dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke ibu negara sebelum terlibat dalam kemalangan itu dalam keadaan laju.

“Saya bertolak dari Genting Highlands bersama-sama ahli keluarga untuk pulang ke Singapura pada tengah hari dan duduk di bahagian tengah bas. Tiba-tiba saya dengar bunyi perlanggaran dan hentakan yang kuat.

“Penumpang lain mula menjerit dan kedengaran tangisan meminta tolong...kami diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Hospital Selayang dekat sini hari ini.

Keng Yen bagaimanapun bersyukur selepas kesemua ahli keluarganya selamat biarpun mengalami kecederaan di beberapa anggota tubuh mereka dan masih menerima rawatan di hospital.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu seorang pelayan bas ekspres, Carles Lagan,26, maut selepas bas ekspres membawa 12 pelancong Singapura terlibat dalam kemalangan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad memberitahu, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira pukul 3.50 petang tadi apabila bas tersebut dalam perjalanan menuju ke ibu negara sebelum pulang ke negara republik itu.

“Setibanya di lokasi, bas tersebut telah melanggar bahagian belakang sebuah lori tanah.

“Akibat pelanggaran tersebut bahagian depan bas mengalami kerosakan teruk dan mangsa yang cedera parah seluruh badan kerana tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya

Menurut Ali, setakat ini 10 pelancong masih menerima rawatan di Hospital Selayang manakala dua lagi dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ujarnya, buat masa ini siasatan mengenai punca kejadian masih dijalankan dengan mengambil keterangan daripada mangsa dan saksi.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada anggota keluarganya.

“Polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - UTUSAN ONLINE