Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam, mangsa, Muhammad Rayyan Rizqi Mohd. Fakhrul Zaman bersama ibu dan bapanya baru selesai makan di restoran berkenaan.

Difahamkan, sebelum kejadian bapanya berusia 38 tahun membawa masuk mangsa terlebih dahulu ke dalam kereta jenis Proton Iris manakala isterinya masih berada di luar kereta.

Sumber berkata, lelaki itu meletakkan mangsa di kerusi penumpang hadapan dan kanak-kanak itu dikatakan bersandar di pintu sebelah kiri.

“Sebaik sahaja isterinya membuka pintu kereta sebelah penumpang untuk masuk, kanak-kanak itu terjatuh ke luar kereta.

“Lelaki itu terkejut dan cuba menyelamatkan anaknya namun telah tertekan pedal minyak sehingga kereta mengundur dan kemudian menggilis mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak itu yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Tambahnya, Proton Iris berkenaan turut bergesel dengan sebuah Proton Persona yang diletakkan di sebelah kiri dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE