Bagaimanapun Nor Zahri Muhammad, 38, kelihatan tenang menerima suratan takdir kehilangan dua anak tercinta Muhammad Zulfitri, 11, dan Nur Afifah, 8, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu.

Suasana itu dapat dilihat di perkarangan Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM), Lati, apabila Nor Zahri begitu tenang sebaik sahaja melihat jenazah dua anaknya dibawa masuk untuk pemeriksaan lanjut oleh pakar perubatan.

Nor Zahri berkata, dia reda dengan kejadian itu dan menyifatkannya sebagai satu ujian besar yang perlu diharungi olehnya bersama dengan isteri, Sharmila Sutirman, 38, selepas kehilangan dua anak secara serentak.

“Allah lebih sayangkan mereka berdua dan terima semua ini dengan hati terbuka. Ketika kejadian saya berada dirumah yang terletak kira-kira 1 kilometer dari kawasan berkenaan

bersama anak bongsu, Nur Aryana, setahun.

“Kesemua lima anak saya itu pergi ke lokasi kejadian bersama ibu mereka selepas waktu asar untuk mandi dan berkelah,” katanya.

Nor Zahri memberitahu, dia dan keluarganya sering kali pergi ke lokasi kejadian untuk mandi-mandi serta beriadah dan kawasan tersebut sering menjadi tumpuan penduduk setempat.

Katanya, bagaimanapun kedua-dua anaknya itu telah mandi di tempat lain selepas kawasan sebelum ini sudah ditimbus untuk dijadikan sebagai laluan bagi kerja-kerja mengangkut pasir.

“Mungkin disebabkan oleh faktor ‘terlepas pandang’ Muhammad Zulfitri dan Nur Afifah telah lemas.

“Kejadian itu disedari isteri, selepas melihat kelibat Muhammad Zulfitri sudah kelihatan tenggelam timbul,” ujarnya

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd. Nazri Ab. Wahab berkata, mayat Muhammad Zulfitri ditemukan terdampar di dasar sungai, tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang pada pukul 9.55 malam tadi.

Katanya, mayat Nur Afifah pula ditemukan lima minit kemudian di sekitar itu juga.-UTUSAN ONLINE