Mangsa, Mohd. Shahrizal Wahid, 35, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala anaknya, Nur Khazreena Syamimi dikejarkan ke Hosptal Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu.

Nur Khazreena dilaporkan mengalami kecedeaan di bahagian muka, tangan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian tersebut sebelum bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kedudukan mangsa berada di lorong sebelah kiri jalan menghala ke Kampung Chemumar manakala motosikal telah dialihkan ke bahu jalan oleh orang awam.

Katanya, hasil siasatan mendapati motosikal mangsa ketika itu dari arah Jalan Tengku Budriah menghala ke arah Kampung Chemumar sebelum dihempap sebatang pokok yang tumbang di kawasan berkenaan.

“Mangsa kemudian terbabas dan terseret di tengah-tengah jalan. Terdapat kesan pokok tumbang sehingga menghalang laluan, yang telah dialihkan semasa polis sampai di lokasi kejadian.

“Tiada kesan pecahan komponen motosikal atau sebarang kesan brek di atas jalan. Manakala cuaca ketika itu berada dalam keadaan baik dengan permukaan jalan kering,” katanya di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- UTUSAN ONLINE