Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, bantuan yang disalurkan menerusi ‘Program Pulau Pinang Bangkit’ itu tidak termasuk dengan bantuan pelbagai agensi dan pihaknya mengalu-alukan bantuan berkaitan untuk disalurkan kepada mangsa.

Dalam masa sama, program yang melibatkan perbelanjaan RM100 juta itu membolehkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (BPAPP) mengumumkan pengecualian surcaj konservasi air untuk satu kitaran penggunaan selama dua bulan.

“Kita ingin umumkan diskaun sebanyak 50 peratus untuk penggunaan air seisi rumah domestik dan 25 peratus untuk kegunaan komersial,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Puteh berkata, pihaknya turut mengecualikan cukai pintu sebanyak 10 peratus kepada semua jenis hartanah yang melibatkan kos RM40 juta selain dokumen kerajaan yang rosak akibat banjir akan digantikan secara percuma.

“Kita juga akan melancarkan program ini pada Sabtu dan Ahad ini dengan meminta semua sukarelawan keluar menghulurkan bantuan namun pemimpin DAP tidak boleh turut serta kerana menghadiri pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baharu di Selangor,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE