Malah setakat ini, Utusan Malaysia difahamkan, sebanyak enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia telah masuk ke kawasan yang terjejas teruk.

Bagaimanapun, Timbalan Duta Malaysia ke Indonesia, Zamhari Shaharan menasihatkan NGO lain yang mahu meng­hulurkan bantuan secara terus kepada mangsa gempa bumi di Palu agar mendapatkan kebenaran dan penyelarasan daripada kedua-dua kerajaan.

“Kita telah bermesyuarat sebelum ini dan mereka turut memberi penjelasan berhubung bantuan NGO yang harus menerima kebenaran dan penyelarasan Indonesia serta Malaysia.

“Ini kerana kita mahu mereka (NGO) ikut keperluan serta peraturan yang telah ditetapkan untuk mengelakkan sebarang kesulitan. Secara tidak langsung pergerakan mereka akan menjadi lebih mudah ketika di sana nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zamhari berkata, beliau menghargai kerjasama antara dua negara termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berjaya diterjemahkan menerusi misi bantuan ini.

“Kita akhirnya berjaya mendarat di Palu dengan pesawat A400M dan membantu Indonesia membawa barangan bantuan mereka untuk dihantar ke Palu. Ia adalah usaha keras pelbagai pihak terutama Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan TUDM,” jelasnya. – Utusan