Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bantuan tersebut disalurkan di seluruh PPS dan para petugas juga akan mengunjungi ke setiap rumah mereka yang terlibat bagi mengagihkan barangan keperluan itu.

Katanya, bantuan makanan yang disediakan di dalam bakul itu merangkumi beras, gula, gandum dan minuman.

“Apa yang dilakukan ini selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

Saya ada bertemu Perdana Menteri pada Khamis lalu dan beliau meminta bantuan disegerakan kepada semua mangsa banjir.

“Bantuan yang diberikan ini adalah tambahan kepada bantuan sedia ada yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi-agensi kerajaan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran agihan makanan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Yahaya Mamat.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri turut meluang masa bertanya khabar mangsa di pusat pemindahan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa kagum dengan semangat dan komitmen seluruh jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan cukup baik bagi memastikan segala urusan membantu mangsa banjir berjalan lancar. - UTUSAN ONLINE