Malah tinjauan Utusan Malaysia mendapati, ada sebahagian mangsa yang mencari sendiri keperluan seperti ubat-ubatan untuk kegunaan keluarga di lapangan terbang berkenaan.

Bagi Musa Khadzim, 32, dia mahu mendapatkan sendiri ubat bagi kegunaan ahli keluarganya yang demam dan pada masa sama mahu membantu sukarelawan mempercepatkan proses pemunggahan barang keperluan untuk diagih-agihkan kepada mangsa.

Dia turut berharap lebih ba­nyak pasukan penyelamat datang ke Palu memandangkan masih ramai mangsa sama ada yang hidup atau meninggal dunia terperangkap di celah-celah runtuhan bangunan.

“Ada mangsa yang masih hidup tertimbus sehingga paras leher. Kami terpaksa menyuapkan makanan dan minuman supaya mereka dapat bertahan.

“Cuma kami bimbang jika dibiarkan lebih lama, mangsa terbabit tidak dapat bertahan akibat cedera atau dihempap runtuhan bangunan. Tambahan pula masih ada gegaran kecil yang boleh dirasai sehingga kini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Selepas beberapa hari me­nunggu, pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) buat pertama kalinya dapat mendarat di Lapangan Terbang Al-Jufri apabila mendapat kebenaran daripada kerajaan Indonesia ekoran situasi dan keadaan landasan yang tidak mengizinkan.

Dalam pada itu, seorang penduduk tempatan, Sadik Halid Bachmid 30, berkata, dia hilang ramai rakan dalam gempa bumi berskala 7.2 Richter yang meragut lebih 1,500 nyawa itu.

Namun kata­nya, dia tidak mahu memikirkan tentang kejadian tersebut dan mahu membina kehidupan baharu selepas ini.

“Kenapa masih mahu fikirkannya selepas lebih seminggu berlalu? Saya perlu lebih tabah walaupun ramai rakan yang telah pergi. Saya harus menjaga ahli keluarga yang masih ada,” ujar­nya. – UTUSAN