Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, setakat ini, terdapat 238 mang­sa banjir dari 78 keluarga tinggal di enam pusat pemindahan di Bintulu dan Limbang.

Menurut kenyataan itu, enam pusat pemindahan banjir yang dibuka ialah Dewan Sukan Tatau, Balai Raya Sebauh dan Balai Raya Kampung Jabai di Bintulu serta Dewan Masyarakat Ukong, Dewan Masyarakat Mendamit dan Sekolah Kebangsaan (SK) Menuang di Limbang.

“Mangsa banjir paling ramai terdapat di Dewan Masyarakat Mendamit iaitu 118 orang daripada 38 keluarga, diikuti Dewan Masyarakat Ukong (52 orang), SK Menuang (44 orang), Balai Raya Sebauh (17 orang), Dewan Sukan Tatau (15 orang) dan Dewan Balai Raya Kampung Jabai (dua orang),” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, banjir turut menjejaskan 38 sekolah di Miri, Limbang, Lawas, Kapit, Sibu, Bintulu dan Mukah.

Katanya, sekolah paling banyak terjejas adalah di Limbang iaitu 12 buah, diikuti Bintulu (sembilan), Miri (tiga), Mukah (tiga), Kapit (dua) dan Sibu (satu).

Tambah kenyataan itu, Jabatan Kesihatan Sarawak melaporkan terdapat 11 klinik kesihatan iaitu lapan di Bintulu, dua di Kapit dan sebuah di Limbang terjejas akibat banjir.

“Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan, hujan lebat berserta angin dijangka berlaku di Limbang dan Miri mulai esok sehingga Ahad ini.

“Justeru, penduduk di bahagian ini, dinasihatkan agar sentiasa berjaga-jaga dan bersedia untuk berpindah apabila diarahkan pihak berkuasa,” ujarnya.

Sementara itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau bersama polis pada pagi ini telah bergerak ke Rumah Panjang (RH) Robert, RH Taa dan RH Degup Ulu Kakus di Bintulu, menaiki bot yang mengambil masa enam jam perjalanan untuk menghantar bantuan makanan serta minuman kepada penduduk yang menjadi mangsa banjir di penempatan berkenaan.