Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang berkata, lebih memburukkan keadaan apabila berlaku fenomena air pasang yang sekali gus menyebabkan air tersekat lalu bertakung.

“Kebanyakan penempatan awal di Marang adalah di kawasan rendah tetapi tidak pernah terjejas oleh banjir kerana air dapat keluar dengan mudah ke parit dan laut.

“Walaupun kerajaan telah menyediakan kemudahan longkang yang baik namun penambakan di tanah persendirian susah untuk dihalang kerana pemilik berhak berbuat demikian,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat 270 mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing di sini hari ini.

Menurut A.Latiff, antara kawasan yang terjejas banjir ekoran masalah penambakan tanah adalah di sekitar Kelulut, Kijing dan Pasir Putih

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat membuat pemantauan serius dan lebih awal terhadap setiap pemilik tanah yang terbabit selaras untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat. - UTUSAN ONLINE