Namun begitu tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan mendapati air masih bertakung di kawasan kampung seperti di Permatang Rawa dan Padang Lallang hingga tengah hari ini walaupun cuaca mulai panas dan membahang.

Rata-rata penduduk serta pemilik premis yang terjejas akibat bencana itu dilihat mengambil peluang cuti umum sempena Hari Wesak hari ini untuk membersihkan kawasan rumah masing-masing.

Beberapa pekerja Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) juga kelihatan sibuk membetulkan lampu isyarat yang rosak selain mengangkut timbunan sampah dan sisa pokok tumbang akibat insiden yang berlaku tengah malam itu.

Sementara itu, cermin dewan menunggu di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Bukit Mertajam yang dilaporkan pecah akibat dipukul ribut dan angin kencang tengah malam tadi telah dibersihkan sepenuhnya.

Seorang pekerja am yang hanya mahu dikenali sebagai Asmah, 50, memberitahu, kerja-kerja pembersihan itu dilakukan beberapa jam selepas insiden tersebut berlaku.

“Mujurlah ribut itu berlaku tengah malam dan tidak ada orang dalam kawasan tersebut (dewan menunggu),” katanya.

Meskipun kerja-kerja pembersihan itu telah selesai, pihak pengurusan KTMB mengambil inisiatif menutup kawasan itu buat sementara waktu bagi mengelakkannya daripada dihampiri orang ramai memandangkan cermin tersebut masih belum diganti ketika ini.

Insiden itu juga dikatakan tidak mengganggu perjalanan operasi tren di stesen berkenaan yang berjalan seperti biasa.-UTUSAN ONLINE