Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Hasadid A. Hamid berkata, setakat pukul 5 petang ini, lima laporan mengenai bencana alam akibat hujan diterima di sekitar Tanah Rata.

Menurutnya, kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di kebun Bharat Tea dan kawasan banglo Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Perdah.

Tambah beliau, pihaknya juga menerima laporan berlaku runtuhan kecil di jalan utama berhadapan Oly Apartment yang menyebabkan hanya satu lorong dibuka untuk kenderaan.

“Banjir kilat dilaporkan berlaku di Kuaters Balai Polis Tanah Rata, kuaters kakitangan kerajaan di Jalan Masjid dan padang awam Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) di Tanah Rata.

“Selain itu berlaku kejadian pokok tumbang di hadapan Bharat Tea Baru di Tanah Rata,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, ekoran kejadian tersebut, Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat dan TNB sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terlibat.

Katanya, bencana itu bagaimana tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

“Banjir kilat yang berlaku di Kuarters Balai Polis Tanah Rata, kuarters kakitangan kerajaan di Jalan Masjid dan di padang awam MDCH telah surut,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, 13 penduduk di sekitar kawasan banglo TNB di Jalan Perdah telah diarah mengosongkan kediaman sehingga pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) membaiki cerun yang runtuh.

“Kejadian tanah runtuh di bang­lo TNB berlaku pada kira-kira pukul 3 petang, menyebabkan hadapan banglo dan empat kereta rosak,” katanya.