Antara kawasan yang dinaiki air termasuk melebihi paras lutut ialah Sungai Seluang, Lunas, Sedim, Nagalilit, Sungai Seluang, Paya Serdang, Padang Meiha dan beberapa kampung sekitar daerah ini.

Demi keselamatan mangsa, Pejabat Daerah Kulim membuka tujuh pusat pemindahan banjir untuk menempatkan kesemua mangsa sejak pukul 12.30 tengah malam tadi.

Menurut Pegawai Daerah Kulim, Muhammad Che Nai, tujuh pusat pemindahan sementara itu dibuka masing-masing setiap satu di Surau Taman Sang Kancil, Sekolah Menengah Insaniah Jangkang, Dewan Masjid Sungai Seluang dan Dewan Desa Keda Nagalilit.

Katanya, pusat pemindahan banjir itu turut dibuka di Dewan Kampung Lindungan Bulan Sedim, Pejabat Penghulu Mukim Padang Meiha dan Kampung Padang Meiha.

“Tujuh pusat ini menempatkan seramai 212 lelaki dewasa; wanita dewasa (250);kanak kanak lelaki (81);kanak kanak perempuan (128).

“Bagaimana pun sehingga tengah hari ini sebahagian besar daripada mangsa di semua pusat itu kembali ke rumah masing masing selepas air semakin surut,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

 Hujan lebat berterusan hampir dua jam sebelum itu menyebabkan Sungai Kulim dipenuhi air sebelum melimpah dan memasuki rumah mangsa yang terletak di kawasan berdekatan. 

Ini merupakan banjir kilat kali kedua selepas kali pertama berlaku beberapa hari lalu di kawasan berkenaan.

Akibat kejadian itu penduduk menanggung kerugian kerana sebahagian besar peralatan elektrik dan perabot yang tidak sempat diselamatkan mengalami kerosakan ditenggelami air.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku semasa kejadian banjir kilat itu. - UTUSAN ONLINE