Kawasan terlibat ialah Taman Desa Impian, Taman Kinta Mas, Bercham Height, Taman Lindu­ngan Bercham Indah dan Kawasan Perindustrian Ringan Bercham dekat sini.

Selain rumah penduduk, lima buah sekolah turut terjejas akibat dimasuki air iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tambun, SK Seri Mutiara, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hing Hwa, SJKC Ming Sing dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Puteri.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, hujan lebat lebih dua jam menyebabkan paras air me­ningkat hingga paras pinggang dan penduduk ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara iaitu di Dewan Temple Huat Tian Keong dan Dewan Orang Ramai Kampung Tengku Hussien.

Bagaimanapun, sehingga pu­kul 6 petang ini, hanya Dewan Orang Ramai Kampung Tengku Hussien yang masih dibuka de­ngan menempatkan 11 mangsa dari tiga keluarga.

Sementara itu, seorang penduduk, Che Bashah Awang Kecil, 59, dari Taman Desa Impian berkata, dia terkejut apabila men­dapa­ti keseluruhan kediaman penduduk ditenggelami air sebaik sahaja tiba dari program Sambutan Ulang Tahun UMNO ke 71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pukul 6 pagi tadi.

“Sampai sahaja tiba di rumah, saya lihat suami dan dua anak perempuan sedang bertungkus lumus menyelamatkan beberapa barang.

“Penat perjalanan tidak habis lagi, terpaksa pula mengemas rumah selepas ini,” katanya.

Malah, Che Bashah yang bekerja sebagai tukang jahit berkata, yang paling merisaukannya adalah 20 pasang pakaian tempahan pelanggan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti turut rosak.

“Macam mana saya nak jawab dengan mereka nanti? Buntu saya memikirkannya,” ujarnya.