Pengarah Kesihatan Terengganu
Dr. Muhammad Omar

Pengarahnya, Dr. Muhammad Omar memberitahu, pasukan yang akan digerakkan ini terdiri daripada 68 pasukan perubatan dengan seramai 333 anggota di samping 69 pasukan kesihatan dengan 308 anggota.

"Seramai lima anggota dalam setiap pasukan perubatan, terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat terlatih, jururawat masyarakat dan pemandu manakala setiap pasukan kesihatan dianggotai oleh tiga orang anggota iaitu penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pemandu.

"Pasukan perubatan ini bersedia memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rawatan serta rujukan sekiranya terdapat mangsa yang memerlukan di pusat-pusat pemindahan.

"Pasukan kesihatan pula akan bertindak menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit bagi memantau, mengesan serta mengawal kejadian penyakit berjangkit akibat banjir," ujarnya, di sini hari ini.

Di samping itu katanya, pihak jabatan telah melatih anggota seramai 43 orang yang terdiri daripada pelbagai kategori dalam latihan menyelamat di air.

"Pihak jabatan juga telah mengarahkan semua hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri untuk menyediakan bekalan ubatan dan peralatan yang mencukupi serta ambulan berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan.

"Anggota terlibat juga telah diarahkan untuk bersiap sedia, dan kemungkinan serta cuti akan dibekukan apabila perlu," ujarnya.

Menyentuh mengenai fasiliti kesihatan yang berisiko banjir, beliau memberitahu, tindakan proaktif telah diambil bagi mengenal pasti fasiliti sementara yang boleh digunakan sekiranya perkhidmatan perlu dipindahkan bagi memastikan perkhidmatan tidak terjejas.

Beliau menasihatkan orang ramai  terutama mangsa banjir termasuklah golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, wanita mengandung, warga tua serta mereka yang mengidap penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi supaya bersiap sedia dengan bekalan ubatan yang mencukupi dan di simpan di tempat yang selamat. - UTUSAN ONLINE