Menurut Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, sehingga pukul 11 pagi ini daerah Kota Belud mencatatkan bilangan mangsa banjir tertnggi iaitu 2,132 orang daripada 704 keluarga berbanding 2,089 orang daripada 323 buah keluarga, semalam.

Kesemua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir iaitu Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Said, SMK Taun Gusi 1, Dewan Masyarakat Tun Said, SMK Taun Gusi 2, Dewan Gopog Taginambut, Muhibah Tombol, Dewan SK Pekan dan Dewan SK Taun Gusi.

Sementara itu, di Tuaran pula jumlah mangsa banjir bertambah sebanyak 12 orang menjadikan kesemuanya 236 orang berbanding 224 mangsa dari 58 buah kampung.

“Keadaan cuaca di Kota Belud mendung manakala cerah di Tuaran dan hanya jalan Tinambak tidak boleh dilalui oleh kenderaan.

“APM akan terus memantau keadaan banjir di dua daerah tersebut termasuk kecemasan lain yang mungkin berlaku di beberapa kawasan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini pagi ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika melawat mangsa banjir di Kota Belud semalam memberi jaminan kerajaan akan menyediakan setiap keperluan mangsa dengan cukup.

Katanya, jika berlaku kelewatan bantuan sampai, mangsa perlu bersabar kerana agensi keselamatan yang ditugaskan juga berdepan dengan kesukaran, namun bantuan pasti akan tiba walau sesukar mana sekalipun.

“Kerajaan telah menubuhkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan keupayaan agensi ini adalah menampung sehingga dua juta mangsa banjit dalam satu masa.

“Jadi tiada masalah untuk menyalurkan bantuan. Bagi saya kes di Sabah ini akan diuruskan, cuma kes terpencil,” katanya.

Yang turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah NADMA, Datuk Abdul Rashid Harun. - UTUSAN ONLINE