Kumpulan pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda dari Fakulti Kreatif dan Warisan UMK itu berada di Pekalongan bagi menjalani latihan perindustrian dalam sektor pembuatan.

Mereka yang terdiri daripada 10 pelajar wanita dan dua lelaki selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 dari Jakarta pada pukul 12.20 tengah malam tadi dan disambut oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Menceritakan pengalaman ditempuh mereka, salah seorang pelajar berkenaan Muhamad Areree Abu Bakar, 24, berkata air yang melimpah dari Sungai Pekalongan naik ke paras pinggang dalam tempoh tidak sampai sejam apabila berlaku hujan lebat.

Katanya, pihak berkuasa Indonesia serta-merta mengarahkan mereka meninggalkan tempat tinggal untuk ke tempat lebih selamat menyebabkan mereka gagal menyelamatkan pelbagai barangan kecuali dokumen perjalanan dan kompu­ter riba.

“Pada pukul 9 malam, 26 Januari ketika kami sedang bersiap-siap untuk tidur, tiba-tiba jiran memaklumkan banjir berlaku kerana air sungai melimpah.

“Kami sangat panik pada waktu itu dan hanya capai barang yang penting sahaja untuk dibawa ke tempat lebih selamat,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini hari ini.

Muhamad Areree menambah, mereka terpaksa bermalam di tempat pemindahan mangsa banjir hingga keesokkan hari sehingga van disediakan tiba untuk membawa kesemua mereka ke Jakarta.

“Perjalanan dari Pekalongan ke Jakarta sejauh kira-kira 350km mengambil masa lapan jam, nasib baik jalan raya tidak ditenggelami banjir dan kami selamat sampai.

“Sebaik sahaja tiba di Jakarta, dengan bantuan pejabat Kedutaan Malaysia di sana, kami diberi pelbagai bantuan sehinggalah pulang ke tanah air,” katanya.