Hujan sejak pagi semalam yang berterusan beberapa jam tidak dijangka akan menyebabkan paras air naik dengan cepat ekoran pengalaman sebelum ini hanya limpahan air di halaman rumah.

Seorang mangsa, Abdul Halim Mat Jusoh, 47, berkata, air banjir yang mengalir deras ke rumahnya menyebabkan mereka sekeluarga tidak sempat menyelamatkan apa-apa termasuk dua buah kereta yang tenggelam.

“Bahagian ruang tamu rumah di bahagian atas dinaiki air sehingga paras buku lali, manakala ruang dapur di bahagian bawah pula mencecah paras leher, air naik amat pantas dan dianggap paling teruk berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Abdul Halim antara 105 mangsa daripada 42 keluarga di dua kampung berkenaan yang berteduh di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Suloh ekoran rumah mereka terjejas.

Seorang lagi mangsa, Abdul Hamid Othman, 57, pula memberitahu, ketika mahu keluar menyelamatkan diri, dia mendapati air di halaman rumahnya sudah mencecah paras leher termasuk arus yang mengalir deras.

“Rumah saya memang tenggelam dan hanya nampak atap, barangan dalam rumah pula memang tak sempat selamatkan apa-apa termasuk mesin basuh, peti ais dan beberapa peralatan lain.

“Memang banjir kali ini amat dahsyat namun bersyukur tiada kejadian tidak diingini berlaku, hingga kini saya belum pulang melihat keadaan rumah kerana terlalu penat tapi anak-anak sudah mula membersihkannya,” katanya. - UTUSAN ONLINE