Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 5 petang ini, 290 mangsa daripada 78 keluarga masih berada di PPS di Pekan, Maran (118 mangsa daripada 27 keluarga) dan Bera melibatkan 19 mangsa daripada 13 keluarga.

“Di Pekan, sebanyak enam PPS masih beroperasi manakala tiga PPS di Maran dan dua di Bera. Daerah lain khususnya Kuantan yang mencatatkan kira-kira 8,000 mangsa kelmarin sudah pulih sepenuhnya,” kata portal itu.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Zainal Yusoff berkata, sejak keadaan cuaca semakin baik bermula semalam, sungai-sungai utama di negeri ini juga menunjukkan trend penurunan ke tahap selamat.

Bagaimanapun, katanya, Su­ngai Chini di Pekan masih berada di tahap berbahaya pada bacaan 15.72 meter.

“Kita sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan. Walaupun banjir semakin pulih tetapi penduduk terutama yang tinggal di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa berjaga-jaga dan peka dengan perubahan cuaca semasa,” katanya.