Kesemua mereka dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Surau Ladang Tuan Mee di sini difahamkan bermula pukul 8 malam selepas hujan lebat melanda kawasan penempatan mereka sejak kira-kira pukul 4 petang.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd. Noor berkata, berdasarkan rekod setakat pukul 10 pagi ini, pecahan mangsa ditempat di pusat pemindahan itu adalah terdiri daripada lapan orang lelaki dewasa, enam wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Selebihnya lagi katanya merupakan warga emas yang terdiri daripada dua lelaki serta empat wanita.

“Selain hujan lebat yang berterusan, tebing Sungai buloh yang terletak di kawasan berhampiran kampung berkenaan telah pecah sehingga menyebabkan limpahan air sungai memasuki kawasan penempatan penduduk.

“Kita telah pun membuat pemantauan di kawasan kampung itu termasuk menggunakan dron bagi meneliti keadaan bencana,” katanya di sini hari ini.

Tambah Shamsul, kerja-kerja pemindahan mangsa banjir dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) membabitkan penggunaan dua aset bot.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan susulan kejadian itu manakala kesemua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan itu turut dibantu oleh para petugas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor. - UTUSAN ONLINE