Daripada jumlah tersebut, Mersing mencatatkan bilangan mangsa banjir tertinggi iaitu 173 diikuti Kota Tinggi (6) dengan jumlah keseluruhan melibatkan 52 keluarga.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kolonel (PA) Mat Zin Bujang berkata, kawasan yang terjejas di Mersing adalah Taman Nakhoda, Air Papan, Kampung Tanjung Genting, Kampung Tenglu Besar, Kampung Kelantan, Semanyir, Endau dan Kampung Air Tawar.

"Seramai 173 mangsa banjir melibatkan 46 keluarga dari Mersing semuanya dipindahkan ke balai raya, sekolah rendah dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sejak pukul 1 petang tadi.

"Berikutan itu Jalan Jemaluang-Mersing ditutup sementara. Jalan alternatif adalah melalui Jemaluang/Kota Tinggi ke Jalan Sri Pantai-Jalan Sekakap untuk ke bandar Mersing," katanya ketika dihubungi, di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, di Kota Tinggi pula melibatkan 15 mangsa daripada enam keluarga di Kampung Bukit Raja yang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Telok Ramunia sejak pukul 9 pagi tadi.

Sementara itu, Mat Zin yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri berkata, bagi 51 mangsa banjir daripada 14 keluarga di Segamat, mereka sudah dibenarkan pulang hari ini. - UTUSAN ONLINE