Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed berkata, sehingga lewat petang ini, bangkai pesawat itu yang hilang selepas terputus hubungan dengan menara kawalan setelah berlepas pada pukul 11 pagi ini dari Pangkalan Udara TUDM Kuantan, di sini belum ditemukan.

Beliau kesal dengan tindakan segelintir pengguna media sosial menyebarkan gambar pesawat yang kononnya ia sudah ditemukan di sebuah lokasi yang dianggap tidak menghormati sensitiviti waris mangsa.

"Keluarga mangsa sedang berduka. Jadi jangan buat perkara kurang manis seperti ini dengan menyebarkan berita palsu," katanya ketika ditemui di pekarangan bilik Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menziarahi jenazah dua juruterbang pesawat Hawk 108 berkenaan, Mejar Mohd. Hasri Zahari serta Mejar Yazmi Mohamed Yusof yang maut dalam nahas berkenaan. - UTUSAN ONLINE