Penduduk yang kini menghadapi masalah bekalan air bersih, makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas harian terpaksa mencuri barangan keperluan di pasar raya dan kedai menjual barangan untuk kelangsungan hidup.

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo meninjau kawasan yang musnah akibat gempa bumi yang melanda Sulawesi
 

Malah tersebar video dalam media sosial, penduduk mengejar kenderaan yang membawa makanan dan mencurinya di jalanan tanpa segan silu.

Presiden Indonesia,Joko Widodo yang turut mengulas perkara itu berharap semua pihak tidak membesar-besarkan kejadian itu kerana kawasan berkenaan sedang menghadapi situasi darurat.

“Dalam keadaan darurat seperti ini, jangan mempermasalahkan hal-hal kecil yang sebetulnya tidak menjadi masalah utama di situ.

“Kalau pun ada masyarakat korban gempa bumi yang mengambil bahan makanan di toko atau mini market, aksi itu bukanlah penjarahan (pencurian) melainkan bentuk kebaikan hati pemilik toko untuk membantu sesamanya yang sedang kesusahan,” katanya dipetik dari laporan media Indonesia yang turut menimbulkan pelbagai polemik.

Mengenai laporan seramai 1,425 banduan di penjara Palu dan Donggala yang melarikan diri selepas tembok dan bangunan penjara runtuh ketika gempa itu berlaku, pihak berkuasa Indonesia memberikan tempoh seminggu untuk mereka kembali ke penjara.

KEADAAN bangunan runtuh di Palu, Sulawesi Tengah selepas gempa melanda pada Jumaat lepas. - GAMBAR/A
 

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla berkata, pihak berkuasa akan memburu semua banduan terbabit sekiranya tidak kembali melaporkan diri secara sukarela.

Menurut kenyataan Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia, sebanyak 1,425 daripada 3,220 banduan di Sulawesi Tengah dilaporkan melarikan diri selepas kejadian bencana itu.

Memetik laporan media tempatan, pihak berkuasa penjara tidak mampu menghalang kejadian itu kerana semua petugas penjara juga terkesan teruk akibat gempa. - BERNAMA