Noor Nadia Kamaludin, 29, berkata, kehidupan mereka sekeluarga sebelum ini bergantung kepada gaji bulanan arwah suaminya itu, selain dia sendiri turut menjual kuih secara ke­cil-kecilan berhampiran rumah sewanya di Kampung Delek, Klang, bagi menampung per­belanjaan harian.

Beliau berkata, dengan pendapatan hasil menjual kuih yang tidak seberapa dan pencen bulanan yang akan diperolehi selepas ini, beliau menjangka pastinya tidak mampu untuk membayar sewa bulanan rumah yang diduduki sekarang yang berjumlah RM500 sebulan.

“Sekarang saya masih belum ada apa-apa perancangan lagi mungkin saya akan bekerja untuk tampung keluarga tetapi terlebih dahulu saya mahu uruskan dahulu soal anak-anak kerana mereka masih kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima lawatan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul di rumah keluarga arwah suaminya di Kampung Baru Beserah, di sini hari ini.

Sehubungan itu Noor Nadia amat berharap kerajaan dapat membantunya memiliki rumah sendiri untuk dia membesarkan dua anaknya yang masih kecil iaitu Nur Medina Aisya, yang berumur tiga tahun dan Muhammad Meqa Al-Asyraf, setahun.

“Sebelum ini arwah ada me­nyatakan hasrat membeli rumah sendiri untuk kami sekeluarga, namun duit simpanan masih belum mencukupi. Sekarang ini saya amat berharap agar pihak kerajaan sudi membantu mempermudahkan urusan kami sekeluarga untuk memiliki rumah bagi meringankan beban,” katanya.

Katanya, ketika ini beliau masih belum memutuskan sama ada untuk menetap di Pahang untuk dekat dengan pusara suaminya ataupun tinggal berhampiran dengan keluarganya di Johor.

Sementara itu, ibu kepada Mohd. Fatah, Sharifah Adzam Syed Mohamad, 68, amat berharap agar kerajaan negeri Pahang dapat membantu bagi mendapatkan sebuah rumah Perumahan Makmur atau PR1MA Pahang buat menantu dan dua cucunya yang masih kecil itu. – BERNAMA