Zahawi Ngah, 60, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam.

Ketua Polis daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, nahas itu berlaku apabila  motosikal yang ditunggangi mangsa melanggar sebuah kereta sewa selepas mengelak dari melanggar sekawan lembu di situ.

Beliau memberitahu, kejadian berlaku sewaktu mangsa dalam perjalanan dari arah Bandar AMBS menghala ke Bandar Ketengah Jaya.

“Keadaan laluan gelap berikutan tiada lampu jalan di kawasan tersebut dan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan mengambil beberapa dokumen berkaitan persaraannya.

“Setiba di lokasi nahas, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa dikatakan cuba  mengelak sekawan lembu sedang melintas jalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum  berlanggar dengan kereta sewa berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, akibat perlanggaran itu, mangsa telah tercampak di atas jalan raya dan mengalami  kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE