Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Moh Halmi Haroon, 53, yang menunggang motosikal jenis BMW1000RR maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Dzulkhairi Mokhtar berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah kereta di lorong sebelah kanan menghala ke bandar raya ini.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi seorang diri hilang kawalan lalu merempuh belakang kereta di lorong kanan jalan menghala ke Johor Bahru.

“Akibat daripada rempuhan itu, mangsa tercampak ke lorong sebelah kiri jalan sebelum digilis beberapa kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti hingga menyebabkan mayat mangsa hancur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulai untuk dibedah siasat.

“Polis sudah mengarahkan waris mangsa untuk hadir ke Hospital Kulai untuk tujuan pengecaman. Kes ini masih dalam siasatan polis dan segala kesan di atas jalan sudah dirakamkan,” katanya dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.