Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi ketika Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menunggang motosikalnya bersama-sama peserta konvoi lain ketika dalam perjalanan menuju ke Ranau.

Menurut kenyataan media di group WhatsApp Media Datuk Azis Jamman, Azis mengalami kecederaan ringan dan berada dalam keadaan stabil serta masih lagi dirawat buat masa ini.

Difahamkan, Azis menerima rawatan di hospital berhampiran iaitu Hospital Tuaran.

Sebelum itu, pada pukul 8 pagi hari ini, Azis menyertai konvoi itu yang juga diadakan untuk mempromosi Regatta Lepa Jubli Perak yang pelancaran beliau sempurnakan sendiri di Dataran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu di sini.

Ketika ditemui selepas majlis pelancaran itu, Azis memberitahu beliau baru sahaja memperoleh lesen B (melebihi 500 cc) dan menggunakan motosikal dipinjam daripada rakannya.

Menurutnya ini merupakan konvoi jarak jauh disertainya dan konvoi turut disertai Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Datuk Seri Zulkifli Abdullah. - BERNAMA