Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, rekod pada 2016 mencatatkan 7,152 kematian di jalan raya, menurun 412 kepada 6,740 kematian pada tahun lalu.

Bagaimanapun kata beliau, penunggang motosikal masih menjadi penyumbang utama kepada angka kematian di jalan raya.

“Usaha pelbagai pihak akhir­nya membuahkan hasil apabila indeks kematian akibat jalan raya bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar adalah 2.34 bagi tahun 2017 menurun daripada 2.59 pada tahun sebelum itu.

“Saya ingin pastikan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya menurun sebanyak 10 peratus setiap tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu Sempena Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pe­ngangkutan, Datuk Seri Sa­ri­puddin Kasim; Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Rosli Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shahruddin Khalid.

AWAS merupakan gabungan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara).

Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata, jumlah kamera AES juga akan ditambah pada tahun ini dan bakal ditempatkan di kawasan-kawasan yang dikategorikan sebagai ‘titik hitam’.

“Sebanyak 21 kamera telah dipasang di lokasi-lokasinya dan maklumat terperinci berhubung pemasangan baharu kamera ini akan saya maklumkan nanti,” katanya.

Dalam pada itu jelas beliau, kerajaan memandang serius kemalangan membabitkan motosikal masih menjadi pen­yumbang utama angka kematian di jalan raya dengan 64.5 peratus daripada jumlah tersebut adalah penunggang dan pembonceng motosikal.

“Jumlah itu (64.5 peratus) adalah sebanyak 4,348 kematian daripada 13 juta motosikal yang berdaftar di negara,” katanya.