Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, Awal dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur bersama rakannya, Izuan Mokhtar, 30, ke Karnival Jom Heboh di Stadium Hang Jebat, Krubong bagi mengacarakan sia­ran langsung rancangan Melodi.

Awal yang duduk di bahagian penumpang sebelah kiri masih sedar selepas kemalangan dan hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian muka manakala Izuan yang memandu kereta itu cuma luka kecil di tangan.

Kedua-dua mereka dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut di mana Awal ditahan di Ruang Dekontaminasi dan Pemerhatian Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka.

Awal ketika ditemui memberitahu, dia sebenarnya tidak berapa sihat hari ini namun perlu ke Mela­ka untuk mengacarakan ranca-ngan Melodi dan meminta bantuan daripada seorang rakannya untuk menghantar beliau.

Katanya, mereka bergerak dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 9 pagi dan beliau hanya duduk di bahagian penumpang kerana demam sambil Izuan memandu kereta tersebut.

“Semasa sampai di tempat kejadian, saya langsung tidak sedar apa yang berlaku dan mendapati kereta sudah terbabas hingga berada di bahagian kiri bahu jalan.

“Saya sedar ramai orang cuba membantu dan turut menghulurkan telefon bimbit yang tercampak semasa kemalangan. Saya kemudian terus menghubungi isteri, Scha Alyahya memaklumkan mengenai kejadian sebelum dikejarkan ke hospital," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, hari ini.

Jelas Awal, dia amat bersyukur kerana terselamat dan hanya mengalami cedera ringan akibat kemalangan berkenaan walaupun kereta miliknya itu remuk teruk.

“Bagaimanapun badan masih terasa sengal dan pihak hospital terpaksa menahan saya untuk sementara waktu sebelum dibenarkan pulang atau dimasukkan ke wad," ujarnya.

Sementara itu, Scha yang turut ditemui Hospital Melaka memberi­tahu, dia sedang menjalani proses penggambaran sebuah telemovie di Ampang, Selangor ketika dihubu-ngi Awal memaklumkan mengenai kemalangan tersebut.

“Tidak lama selepas itu, saya menerima kiriman gambar kereta Awal yang remuk teruk melalui aplikasi WhatsApp dari seorang rakan dan kemudian memberitahu kru produksi mengenainya (kemalangan) lalu bergegas datang ke Melaka," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, kedua-dua mangsa difahamkan menaiki kereta yang dipandu di lorong tengah sebelum mengalami masalah teknikal.

“Kereta berkenaan kemudian terbabas ke kiri lebuh raya lalu dan merempuh sebatang tunggul di tebing jalan menyebabkan ia berpusing beberapa kali hingga bahagian enjin dan dua tayar hadapan terlerai dari kenderaan tersebut," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ujarnya, kedua-dua mangsa yang terperangkap dalam kendera­an kemudian dibantu orang awam sebelum dihantar ke Hospital Melaka menggunakan ambulans penyelamat.

Tambah Muhammad Ismail, beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk diminta tampil membantu siasatan di bawah seksyen 43(1) Akta Pe-ngangkutan Jalan 1987.