Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, basikal yang ditunggangi mangsa, Ku Hasbullah Ku Abdul Rahman,18, dikatakan telah hilang kawalan seterusnya terbabas melanggar penghadang jalan di kawasan
Jalan Wang Kelian menghala Kaki Bukit.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Ghazani Abdul Ghani berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Parit Chuping meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala dan badan.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang menjalani latihan seorang diri telah hilang kawalan dan terbabas sendiri sebelum berlanggar penghadang jalan ketika menuruni bukit di Jalan Wang Kelian.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Tambah Ghazani, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut memandangkan mangsa terbabit dalam kemalangan seorang diri.-UTUSAN ONLINE