Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, sebanyak 17 pelajar bersama jemaah lain sedang menunaikan solat zuhur.

Menurut saksi kejadian, Mahmud Bunyamin, 61, dia terkejut melihat api marak di asrama pusat tahfiz tersebut sebaik sahaja tiba di masjid untuk menunaikan solat.

Mahmud yang juga Ketua Kampung Dengkil berkata, seorang kanak-kanak menjerit untuk memberitahu ada asap sehingga menarik perhatiannya dan jemaah lain.

“Saya terus menghubungi pasukan bomba dan mereka tiba kira-kira 10 minit kemudian. Namun ketika itu api sudah memusnahkan hampir keseluruhan asrama yang menjadi penempatan sementara pelajar.

“Dalam kejadian serupa dua tahun lalu di madrasah ini, semua pelajar terselamat kerana ketika itu sedang menunaikan solat isyak berjemaah dan kini mereka sekali lagi terselamat kerana sedang menunaikan solat zuhur,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mahmud berkata, dalam kejadian pertama pada Januari 2016, keseluruhan asrama dua tingkat musnah akibat litar pintas dan ekoran itu semua pelajar dipindahkan sementara di balai raya berhampiran sehingga sekarang.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, Izman Adnan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.44 petang dan seramai 23 anggota dari BBP Cyberjaya, BBP Putrajaya dan BBP Puchong digerakkan ke lokasi.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh 20 minit dan tiada mangsa terlibat. Buat masa ini pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Muhammad, 14, berkata, mereka bersyukur kerana terselamat.

“Ketika kejadian kami semua sedang bersolat dan tetap meneruskan solat seperti biasa sehingga selesai.