Menurut Rabuan, arwah begitu bersemangat ketika bertanya kepadanya bagaimana cara untuk bergelar atlet terbaik dan cemerlang.

"Arwah bertanya macam mana nak berlari laju. Dia kata nak jadi seperti saya. Itulah kata-katanya ketika kali terakhir kami bertemu pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu," katanya yang pernah memenangi pingat emas acara 100 meter Sukan Asia 1982.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas upacara pengebumian pelajar perempuan itu di Tanah Perkuburan Islam Pusara Damai Sungai Kelamah, Gemas di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi semalam, Nur Afini, 14, maut selepas terkena bilah mesin pemotong rumput yang tercabut dari sebuah traktor di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman di sini.

Sementara itu, bapa Nur Afini, Roslan Samad, 55, berkata, anaknya aktif dalam sukan memanah sejak berusia 10 tahun.

"Saya bercadang mendaftarkan arwah sebagai atlet memanah Negeri Sembilan dan tidak menyangka insiden ini berlaku," katanya.

Ujarnya, mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak sekolah dan polis untuk menjalankan siasatan. - UTUSAN ONLINE