Mohd. Fadzil

Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Perkhidmatan) Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Akhir berkata, arus karau ibarat bahaya tidak disedari kerana ‘kehadirannya’ boleh menyebabkan pengunjung pantai yang leka mandi-manda dibawa arus selama 20 saat.

Katanya, arus tersebut boleh mengancam nyawa termasuk mereka yang pandai berenang kerana gelombangnya yang kuat tidak dapat dilihat di permukaan kecuali terdapat kamera di dasar laut yang mana ini memerlukan perbelanjaan tinggi.

“Arus karau ini boleh berlaku pada bila-bila masa dan beberapa kali sehari tanpa mengira musim, berbeza dengan fenomena ekor naga yang hanya berlaku pada tempoh penghujung Monsun Timur Laut, iaitu sebelum berakhirnya bulan Februari.

“Kebiasaannya mereka yang pandai berenang pun akan tewas dan panik apabila diserang dengan arus karau, itu yang menjadi punca berlakunya kejadian lemas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tragedi lemas di beberapa negeri di Pantai Timur termasuk yang meragut empat nyawa di Pantai Tok Bali, Kelantan dan seorang remaja di Pantai Penunjuk, Kijal, Terengganu, Jumaat lalu.

Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia semalam turut menyuarakan cadangan supaya pihak berkuasa mewartakan lokasi berisiko bagi menggelakkan lebih ramai terkorban selain mewajibkan setiap pelajar sama ada di peringkat sekolah mahu pun universiti menjalani latihan berenang.