Ia dipercayai punca enam anggota bomba daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor terkorban ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini semalam.

Tragedi tersebut juga merupakan yang pertama melibatkan sekumpulan anggota terkorban pada satu masa dalam sejarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, enam anggota pasukan PPDA berkenaan dipanggil untuk membantu operasi pencarian remaja yang dilaporkan lemas pada pukul 5.19 petang.

Bagaimanapun menurutnya, baru sahaja lima minit berada di dalam air, tiba-tiba datang arus deras yang mengakibatkan semua mangsa terbelit tali yang turut dikatakan menjadi punca peralatan menyelam yang dipakai tertanggal.

“Anggota lain yang berada di tebing cuba menyelamatkan keenam-enam rakan mereka dengan menarik tali yang mengikat semua mangsa namun tidak berjaya kerana arus sangat deras.

“Selepas berusaha selama 30 minit, mereka berjaya menarik kesemua mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri. Anggota paramedik yang turut berada di lokasi cuba memberi rawatan kecemasan termasuk bantuan pernafasan (CPR) selama 30 minit namun tiada tindak balas dan kesemua mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.