Tengku Abdullah bertitah mereka yang berkeupayaan perlu tampil berbuat demikian untuk membantu meringankan bebanan mangsa dan tidak hanya bergantung kepada agensi kerajaan.

"Saya saran mereka (yang) berkeupayaan tampil bantu khususnya mereka yang baru dapat Datuk semalam (sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang) termasuk artis dan orang perseorangan.

"Cari jalan...baiki rumah dan bantu mereka yang kesusahan...," titah baginda pada majlis pengurniaan sumbangan untuk mangsa ribut di Taman Saga Ceria, Mentakab, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang.

Pada kejadian Isnin lepas, sebanyak 166 rumah di 12 kawasan di Mentakab terjejas setelah dilanda ribut menyebabkan kerugian dianggarkan lebih RM186,000.

Pada istiadat semalam, penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Datuk Eizlan Yusof dan Datuk Maria Menado dianugerahkan darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Pelakon berasal dari Singapura, Adi Putra pula menerima Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Tengku Abdullah berkata, gesaan baginda itu bukan untuk menyindir tetapi satu kenyataan kerana masih ramai rakyat di negeri ini memerlukan pembelaan terutama yang dilanda musibah seperti ribut.

"Ramai rakyat di Pahang masih perlukan bantuan seperti moral dan kewangan...kebelakangan ini banyak musibah berlaku dan ini peluang untuk mereka berbakti kepada negeri yang memerlukan bantuan. Berikan sesuatu kepada masyarakat.

"Seperti bencana ribut yang berlaku di sini...mangsa memerlukan bantuan dari segi moral, bumbung, siling dan perabot...kadangkala mereka perlu rasa apa dilalui rakyat yang dilanda musibah," katanya.-BERNAMA