Beberapa penyanyi termasuk Celine Dion, Diane Dufresne dan kumpulan Tragically Hip mempersembahkan beberapa buah lagu dalam rancangan amal yang ditayangkan semalam, dalam bahasa Inggeris dan Perancis secara langsung di stesen televisyen dan radio.

Dalam persembahan itu, para artis yang melakukan persembahan merayu kepada rakyat Kanada untuk menderma kepada mangsa yang terselamat dalam tragedi yang berlaku pada 12 Januari lalu serta mengorbankan kira-kira 111,000 nyawa manakala 600,000 lagi dikatakan hilang tempat tempat tinggal dan ibu negara Haiti hampir musnah sama sekali.

"Kita kena hulurkan bantuan bagi membantu mereka yang memerlukan, jadi saya merayu agar anda lebih pemurah dan bersama-sama dengan rakyat Haiti," kata Dion yang turut berkongsi bersama rakan dan pengurusnya, Rene Angelil menderma sebanyak AS$475,000 (RM1.6 juta).

Sehubungan itu, rakyat Kanada telah memberi respon dengan menghulurkan derma sebanyak AS$15.12 juta (RM51.38 juta) dalam masa hanya dua jam, kata penganjurnya.

Semua wang yang disumbangkan itu akan disalurkan kepada mana- mana pasukan keselamatan termasuk Palang Merah.

Setakat ini, Kanada telah menyumbangkan kira-kira AS$78 juta (RM265 juta) kepada negara Carribean yang dilanda bencana itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper, semalam mengumumkan bahawa kerajaan akan memastikan derma yang diberi oleh pihaknya setanding dengan jumlah yang dihulurkan oleh rakyatnya walaupun sebelum ini beliau menetapkan angka siling berjumlah hanya AS$50 juta (RM170 juta).

Sementara itu di NEW YORK, kutipan derma melalui rancangan televisyen yang disiarkan di stesen televisyen Amerika Syarikat (AS) berjaya mengutip jumlah kutipan kira-kira AS$58 juta (RM197 juta) sekali gus mencipta satu rekod kutipan derma tertinggi oleh orang awam, kata penganjurnya semalam.

"Orang ramai kini telah mempunyai satu kaedah baru bagi menghulurkan bantuan iaitu melalui siaran televisyen bertajuk Hope for Haiti Now dan mereka boleh terus melakukannya setiap hari melalui telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) serta dengan melawati laman web," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Entertainment Industry Foundation, Lisa Paulsen.

Program itu yang diketuai oleh pelakon terkemuka, George Clooney, disiarkan di semua stesen televisyen utama di AS.

Laman web sosial Facebook dan MySpace turut menyumbang dalam kutipan derma itu.

Menurut laporan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri Haiti, gempa bumi yang terjadi pada 12 Januari lalu, telah mengakibatkan kira-kira 111,000 rakyatnya terbunuh manakala kira-kira 500,000 lagi hilang tempat tinggal. - AFP