Anak kapal warga negara India itu, Ajit Kumar, 36, diselamatkan kira-kira pukul 12.40 tengah hari selepas terjatuh dari kapal NYK Daniella yang berpangkalan di Singapura.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, ketika kejadian, kapal berkenaan berada kira-kira enam batu nautika dari barat daya pantai Port Dickson dan sedang dalam pelayaran menuju ke Port Klang, Selangor.

"Satu pasukan APMM yang menaiki bot Petir 84 bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu dari Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya pada pukul 11.27 pagi.

"Anggota penguat kuasa APMM berjaya menemui dan menyelamatkan mangsa pada pukul 12.40 tengah hari," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa yang keletihan diserahkan kepada kapal NYK Daniella untuk tindakan selanjutnya.

Utusan Online difahamkan, mangsa telah terjun ke dalam laut akibat tekanan emosi. - UTUSAN ONLINE