Persoal­an itu timbul berikutan pada awalnya, lintar pintas yang dipercayai menjadi punca kebakaran tersebut bukan pencetus kejadian selepas siasatan lanjut dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Jabatan itu mendapati kotak fius di asrama terbabit berada dalam keadaan baik.

Ada pula dakwaan menyatakan tragedi yang menyaksikan kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan rentung itu berpunca daripada letupan tong gas.

Apa lebih mengejutkan, kesemua mangsa dikatakan gagal menyelamatkan diri di dalam asrama yang didakwa berstatus sementara dan belum memiliki Sijil Perakuan Bomba.

Apapun, tragedi pilu kira-kira pukul 5.10 pagi itu mengakibatkan mangsa terperangkap kerana kebakaran terbabit bermula di satu-satunya pintu masuk dan keluar asrama berkenaan manakala kesemua tingkap dilengkapi dengan jeriji kekal.

Lebih menyayat hati, kesemua mangsa berusia dalam lingkungan tujuh hingga 26 tahun itu dikatakan sempat melambai-lambai dan menjerit meminta tolong sebelum rentung dalam api marak ketika azan subuh berkumandang.

Mayat mereka ditemukan dalam keadaan bertindihan di tiga bahagian bilik asrama berkenaan iaitu sembilan di sudut kiri, 11 di sudut kanan manakala tiga lagi di hadapan pintu asrama terbabit.

Kesemua mayat dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi proses bedah siasat serta ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Insiden itu turut mencederakan enam pelajar tahfiz serta seorang penduduk setempat yang cuba membantu mangsa kejadian.

Empat daripada mereka mengalami kecederaan serius manakala tiga lagi separa kritikal dan kini dirawat di HKL.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, insiden terbabit bukan disebabkan masalah litar pintas sebaliknya disebabkan beberapa unsur lain.

‘‘Unit Forensik mengambil masa kira-kira lima jam untuk menjalankan siasatan dan mendapati kebakaran itu bukan disebabkan masalah litar pintas. Ada unsur lain namun semuanya masih disiasat dan kita hanya boleh mendedahkannya selepas keputusan rasmi disahkan,’’ katanya di sini hari ini.