Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, mangsa, Koperal Mohd. Hider Abu Hassan, 32, yang dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di Kem Rejimen 509, Leburaya Peel di sini, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal di lorong motosikal di lebuh raya tersebut.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa terbabas sendiri dipercayai kerana hilang kawalan sebelum melanggar tebing pembahagi jalan di lorong motosikal.

“Mangsa juga terseret sejauh kira-kira 30 meter di lorong motosikal itu dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani, siasatan kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE