Mangsa Lans Koperal Siti Khalijah Zainal Abidin, 30, disahkan meninggal dunia lebih 12 jam sebelum dia ditemukan dan punca kematian adalah pendarahan dalam otak sebelah kanan dan kandungan berusia 9 bulan juga turut maut.

Difahamkan mangsa yang turut menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis dijangka bersalin pada 9 Februari ini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa daripada seorang anggota polis wanita berusia 30 tahun yang juga teman serumahnya pada pukul 8 malam.

Katanya, semalam arwah tidak bertugas kerana cuti dan tinggal berseorangan di rumah kerana teman serumahnya pulang ke rumah keluarga di Kota Bharu.

“Pada pukul 8 malam teman serumahnya telah pulang dan mengetuk pintu beberapa kali namun tiada respon daripada arwah sebelum menemukan arwah terbaring tidak sedarkan diri di atas lantai ruang tamu.

“Hasil laporan perubatan mendapati mangsa meninggal akibat pendarahan dalam otak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE