Pegawai Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah Faizal Wahid berkata kejadian itu mengakibatkan Sarjan Mohd. Norzanyzan Mohd. Din, 39, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud, mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuaran.

Menurutnya sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba Penyelamat Tuaran bergegas ke lokasi kejadian selepas pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.42 petang.

“Pasukan EMRS memberikan rawatan awal di lokasi sebelum menghantar Sarjan Mohd. Norzanyzan ke Hospital Tuaran menggunakan ambulans untuk tindakan selanjutnya. Mayatnya kini masih di hospital berkenaan untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pemandu serta semua penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan pasukan bomba kemudiannya bertindak melakukan pemeriksaan rapi bagi memastikan lokasi kejadian benar-benar selamat, sebelum menamatkan operasi. - BERNAMA