Kejadian berlaku pukul 10.30 malam ketika mangsa, Lans Ko­peral Asynur Aref Abbas, 28, dalam perjalanan dari Cheras, Kuala Lumpur ke Felda Palong 7 untuk mengambil isteri dan anaknya berusia 10 bulan di rumah mentuanya. 

Menurut isteri mangsa, Nurul Izzati Alias, 24, kali terakhir dia menerima panggilan daripada suaminya pada pukul 9 malam.

“Semasa menghubungi saya, dia memberitahu yang dia sudah sampai di Kuala Pilah dan me­minta saya dan anak bersiap ke­rana dia hendak mengambil kami. 

“Arwah nak bawa kami bersiar-siar di Port Dickson kerana dia bercuti hari ini dan akan kembali bertugas pada pukul 12 malam nanti,” katanya ketika ditemui di Hospital Jempol di sini hari ini. 

Menurut Nurul Izzati, dalam perbualan dengan suami, dia sempat memintanya membelikan lampin untuk anak tunggal mereka. 

“Rupa-rupanya dia tak sampai ke rumah lagi dan pergi meninggalkan kami buat selama-lama­nya,” katanya dalam nada sedih. 

Sementara itu, adik mangsa, Asynurul Mukmin Abbas, 24, berkata, abangnya telah berkhidmat hampir lima tahun di Balai Polis Sungai Besi dan tinggal di berek polis. 

“Malam tadi saya menerima panggilan seorang lelaki yang hanya memaklumkan arwah terlibat dalam kemalangan. 

“Saya terkejut apabila mendapat tahu bahawa abang saya sebenarnya telah meninggal dunia dalam kemalangan itu,” katanya. 

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 7 di sini petang ini. 

Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd. Nur Hishamudin Hashim berkata, kemalangan berlaku selepas kereta Proton Saga dipandu mangsa terbabas lalu merempuh pokok getah. 

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.