Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Hanafi Mohamed, 50, yang bertugas di Pondok Polis Mahsan, Bandar Seri Jempol mening­gal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya, Mazlyana Yassin, 40, patah kaki kanan.

Ketua Polis daerah, Supe­rintenden Noorzainy Mohd. Noor berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dan isteri dalam perjalanan pulang ke rumah di Mahsan selepas melawat kakaknya di Kampung Serting Tengah dekat sini.

Ujarnya, mereka yang datang dari arah Serting Tengah menuju ke Bandar Seri Jempol dengan menaiki motosikal jenis Demak telah bertembung dengan kereta jenis Toyota Vios yang sedang memotong sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan.

“Pemandu kereta itu iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun dan penum­pangnya seorang lelaki berusia 62 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Noorzainy berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol di sini untuk bedah siasat, manakala isterinya turut menerima rawatan di hospital berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut Noorzainy, Allahyarham yang merupakan Ke­tua Pondok Polis Mahsan meninggalkan lima anak berusia 12 hingga 23 tahun.